SANDAKAN: Polis telah menahan tiga lelaki, termasuk seorang remaja berumur 14 tahun, untuk membantu siasatan berhubung insiden yang melibatkan seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang didakwa diserang sekumpulan individu semasa melakukan rondaan di Pasar Batu 8, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warganegara Filipina, ditahan pada Sabtu di beberapa lokasi berasingan iaitu Batu 8, Kampung Bariawa dan kawasan setinggan Kampung Melayu.
Beliau menjelaskan penahanan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh pegawai penguatkuasa MPS yang terbabit pada hari kejadian.
“Ujian air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka mengaku terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas), Seksyen 332 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan secara sengaja untuk menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas) dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan (merusuh).






