KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) melalui Disaster Monitoring Hub (D-Hub) telah mengagihkan sebanyak 20,440 pek makanan sedia dimakan atau “Hero Meals” bersama air minuman kepada mangsa banjir di beberapa daerah di Sabah.
Bantuan tersebut disalurkan kepada komuniti terjejas di Paitan, Pitas, Sook, Beaufort, Membakut, Sipitang dan Tenom menerusi penyelarasan pasukan di lapangan serta kerjasama rakan strategik.
Bagi fasa terbaharu, agihan melibatkan Beaufort (520 penerima), Membakut (520), Sipitang (520) dan Tenom (600). Sebelum ini, bantuan turut diagihkan di Keningau, Telupid, Pitas, Sook dan Kota Marudu.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) IDS bagi membantu komuniti terjejas bencana serta memastikan akses kepada makanan yang selamat dan mudah disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Program itu dilaksanakan dengan sokongan Kembara Kitchen sebagai penyedia makanan serta CIMB Foundation sebagai rakan penyumbang.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts. Dr Ramzah Dambul berkata D-Hub bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pemantauan bencana, malah turut menyelaras respons bantuan secara lebih sistematik dan berimpak.
Beliau turut mengalu-alukan sumbangan tambahan daripada orang ramai dan pihak korporat, khususnya keperluan asas seperti lampin bayi, susu bayi dan tuala wanita untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.






