PAITAN: Daerah Paitan sekali lagi secara rasmi diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir selepas beberapa kawasan dikenal pasti mula terjejas susulan keadaan cuaca dan peningkatan paras air di beberapa lokasi.
Pengisytiharan tersebut dibuat oleh Pegawai Daerah Paitan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Paitan, Joloning Joe Majambu, pada jam 11.00 pagi hari ini selepas menerima laporan dan maklumat terkini daripada agensi tindak balas yang terlibat dalam JPBD.
Menurut beliau, keputusan mengisytiharkan bencana banjir dibuat berdasarkan maklumat yang diterima dari lapangan yang menunjukkan beberapa kawasan hotspot di daerah berkenaan mula terjejas akibat limpahan air.
Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan agar Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka bagi menyelaras gerak kerja operasi menyelamat, bantuan serta pemantauan keadaan semasa di kawasan terjejas.
Pihak JPBD Paitan akan terus memantau perkembangan keadaan banjir dari semasa ke semasa dengan kerjasama semua agensi keselamatan dan penyelamat bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi pengurusan bencana di daerah berkenaan.






