Pengukuhan Keselamatan Agenda Utama Pembangunan Negeri di Bawah SMJ 2.0

Pengukuhan Keselamatan Agenda Utama Pembangunan Negeri di Bawah SMJ 2.0

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memperkukuh keselamatan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah berjalan lancar di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, selain menjamin kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, potensi Sabah untuk muncul sebagai Hub Ekonomi Biru di ASEAN Timur amat besar berdasarkan kekayaan biodiversiti laut serta kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan serantau.

Menurutnya, dalam kerangka SMJ 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri melalui pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin, peningkatan infrastruktur pelabuhan serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan sebagai hab ekonomi baharu.

Namun semua potensi ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin. Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut dan industri makanan laut tidak akan berkembang dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer, sekali gus menjadikan negeri ini barisan hadapan Malaysia di Borneo dan di Laut Sulu.

Katanya, kedudukan tersebut meletakkan Sabah sebagai pintu ekonomi maritim negara di rantau ini, khususnya di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) yang meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Menurut beliau, kawasan itu diperkukuh melalui peranan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah serta menjadi simbol kedaulatan negara di kawasan tersebut.

“Pengukuhan keselamatan amat penting bukan sahaja untuk melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar-bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri melalui perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan dan industri berasaskan sumber laut,” katanya.

Selain keselamatan fizikal, Hajiji berkata kesejahteraan negeri juga bergantung kepada keselamatan kesihatan rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri amat menghargai peranan petugas kesihatan yang terus komited memerangi penyakit berjangkit termasuk tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di Sabah.

“Usaha pengesanan awal, rawatan berterusan serta program kesedaran kesihatan yang dilaksanakan amat penting dalam melindungi komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang disifatkan sebagai barisan hadapan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Menurutnya, sumbangan kuih-muih Hari Raya yang diserahkan kepada mereka merupakan tanda ingatan dan penghargaan kerajaan negeri atas pengorbanan serta dedikasi mereka dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.