Komitmen 40 Peratus Hak Sabah Tidak Dipertikai – Anwar

Komitmen 40 Peratus Hak Sabah Tidak Dipertikai – Anwar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk menunaikan hak Sabah menerima 40 peratus hasil Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara itu tidak lagi dipertikai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah memberi jaminan jelas bahawa komitmen tersebut adalah keputusan dasar yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri serta diumumkan di Parlimen.

Menurutnya, isu yang dibincangkan ketika ini bukan lagi mengenai hak 40 peratus itu, sebaliknya lebih kepada kaedah pelaksanaannya.

“40 peratus itu sudah muktamad. Tutup kes. Kerajaan ini telah memberi jaminan jelas bahawa kita komited untuk menghormati hak 40 peratus kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 di sini pada Ahad.

Anwar berkata, sejak mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan telah memulakan perjanjian interim bersama kerajaan negeri Sabah berkaitan pembayaran tersebut yang bermula sejak 2022.

Menurutnya, rundingan dan perbincangan terperinci terus dijalankan antara pihak Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menentukan kaedah pengiraan serta pelaksanaan yang tepat.

“Soal ini bagi saya bukan lagi isu. Yang dibincangkan sekarang ialah bagaimana pelaksanaannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan Sabah dan Sarawak, sebaliknya terus menyalurkan peruntukan pembangunan besar kepada kedua-dua negeri termasuk dalam sektor air, elektrik dan infrastruktur.

Menurutnya, pelbagai projek termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, pembangunan pendidikan serta kemudahan prasarana dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan turut menanggung subsidi besar bagi memastikan kos sara hidup rakyat di Sabah dan Sarawak kekal terkawal.

Beliau memaklumkan subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak sahaja mencecah RM2 bilion pada 2025 dan meningkat kepada sekitar RM4.6 bilion pada tahun ini berikutan kenaikan harga minyak global.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa rayuan yang difailkan kerajaan di mahkamah tidak menyentuh hak 40 peratus tersebut.

Sebaliknya, katanya rayuan itu dibuat bagi memperjelaskan beberapa perkara dalam penghakiman yang menyentuh tafsiran terhadap peranan pemimpin terdahulu di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Apakah rayuan ini menyinggung kedudukan 40 peratus? Tidak timbul sama sekali. 40 peratus sudah selesai dan kita tidak akan mempertikaikannya,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan bahawa perbincangan mengenai hak Sabah perlu dilakukan secara berhemah dan berasaskan fakta demi memastikan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus diperkukuh.