Di bawah Kepimpinan Hajiji, Sabah Terus Tarik Pelabur: Oseanarium RM70.5 Juta Bakal...

Di bawah Kepimpinan Hajiji, Sabah Terus Tarik Pelabur: Oseanarium RM70.5 Juta Bakal Dibina Di KK

0
SHARE
Gamabr sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Keyakinan pelabur terhadap Sabah terus meningkat apabila sebuah projek oseanarium bernilai kira-kira RM70.5 juta bakal dibangunkan di Kota Kinabalu oleh Aquawalk Group Bhd.

Projek yang dikenali sebagai Aquaria KK itu dijangka siap menjelang tahun 2029 dan bakal menjadi antara tarikan pelancongan marin baharu di negeri ini.

Perkembangan ini dilihat sebagai satu lagi petanda positif bahawa Sabah semakin mendapat perhatian pelabur, selaras dengan kestabilan politik serta hala tuju pembangunan ekonomi negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Datuk Seri Hajiji Noor…

Menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia, projek tersebut akan dibangunkan melalui anak syarikat milik penuhnya, Aquawalk KK Sdn Bhd yang telah menandatangani perjanjian sewa selama 30 tahun bagi premis seluas kira-kira 73,054 kaki persegi di kawasan pembangunan The Bedrock, Jesselton Docklands di pusat bandar Kota Kinabalu.

Aquawalk sebelum ini terkenal sebagai pengendali beberapa akuarium utama di rantau ini termasuk Aquaria KLCC di Kuala Lumpur, Aquaria Phuket di Thailand serta mempunyai pegangan dalam Jakarta Aquarium & Safari di Indonesia.

Pengerusi Eksekutif Aquawalk, Datuk Simon Foong berkata pembangunan Aquaria KK merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan syarikat ke kawasan yang mempunyai potensi pelancongan tinggi.

Dengan kedudukannya yang strategik berhampiran laut di Jesselton Docklands, projek tersebut dijangka menjadi mercu tanda pelancongan baharu di Kota Kinabalu serta mampu menarik sekitar 360,000 pengunjung setiap tahun.

Selain merancakkan sektor pelancongan, projek ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan serta merangsang aktiviti ekonomi tempatan.

Pembangunan Jesselton Docklands yang dianggarkan bernilai RM4.2 bilion turut merangkumi terminal kapal persiaran antarabangsa, hotel, kediaman serta kawasan komersial yang dijangka memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.