Majikan Tidak Boleh Potong Gaji, Elaun Pekerja BDR – Saravanan

Majikan Tidak Boleh Potong Gaji, Elaun Pekerja BDR – Saravanan

0
SHARE
Datuk Seri M. Saravanan...

TAPAH, PERAK – Dasar gaji negara tidak membenarkan pemotongan gaji atau elaun pekerja yang Bekerja Dari Rumah (BDR), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.
Beliau berkata pemotongan gaji tidak boleh dilakukan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Hari ini tiada halangan, majikan boleh minta mereka masuk ke pejabat. Tidak boleh mana-mana pihak kerja dari rumah tanpa persetujuan daripada majikan…

“Majikan dia membenarkan, maka tidak patutlah mereka hendak potong gaji. Kalau majikan tidak setuju dengan pekerja bekerja dari rumah, mereka boleh minta majikan datang ke pejabat. Jangan kita bagi kebenaran, kita pula potong gaji,” katanya yang dipetik Bernama selepas majlis berbuka puasa di sini malam tadi.

Beliau mengulas laporan mengenai Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang melihat kewajaran majikan memberikan gaji yang lebih kecil termasuk memotong elaun perjalanan jika pekerja memilih untuk BDR.

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata ada pekerja yang bersetuju dengan langkah berkenaan susulan bekerja dari rumah sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja.