Mayonais Tradisional Di Brunei Tidak Halal

Mayonais Tradisional Di Brunei Tidak Halal

0
SHARE

BANDAR SERI BEGAWAN – Mayonais Tradisional jenama Sarah Darlington di negara ini disahkan TIDAK HALAL oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal Jabatan Hal Ehwal Syariah Brunei kerana didapati mengandungi wain putih dan cuka alkohol.

Jabatan itu dalam kenyataannya pada Khamis baru-baru ini berkata, perkara itu sudah dirujuk kepada pengeluar produk Sarah Darlington & Daughters, yang mengesahkan tiada sebarang sijil halal dikeluarkan untuk produk berkenaan.

Bagi menjaga kebajikan masyarakat Islam di negara itu, jabatan berkenaan mengarahkan pemilik premis untuk mengasingkan produk terbabit ke bahagian tidak halal dan dijauhkan dari pandangan umum dengan segera.

Semua pengimport, pasar raya dan kedai dinasihat untuk mengasingkan dengan segera sekiranya terdapat produk sama diedar dan dijual di premis mereka.

Memetik laporan BH, Kementerian Hal Ehwal Agama di negara itu mengingatkan pemilik, pengurus, peruncit, pembekal dan pengimport produk supaya lebih berwaspada serta sensitif terhadap produk import yang dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai.

Mereka diminta memastikan produk halal tidak dicampur dengan tidak halal dan kementerian terbabit turut melarang masyarakat Islam daripada mengambil produk itu.