Brosur Agropelancongan Jilid 2 Jadi Pelan Hala Tuju Baharu Tarik Pelancong ke...

Brosur Agropelancongan Jilid 2 Jadi Pelan Hala Tuju Baharu Tarik Pelancong ke Luar Bandar Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Brosur Agropelancongan “Pengalaman Ladang Sabah yang Unik 2026–2027” (Jilid 2) berperanan sebagai pelan hala tuju baharu dalam mempromosikan pelancongan luar bandar Sabah, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, penerbitan itu bukan sekadar risalah promosi, sebaliknya panduan komprehensif yang menghubungkan pelancong dengan nadi sebenar sektor pertanian negeri, termasuk pengalaman melawat kebun, bertemu petani dan menyelami kehidupan luar bandar.

Menurutnya, inisiatif berkenaan membuka peluang kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk meneroka Sabah melangkaui bandar dan pantai, sekali gus memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap sumber makanan serta hasil pertanian tempatan.

“Penerbitan ini membantu mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih bermakna, selain memperkukuh kefahaman terhadap peranan petani dalam menjamin kelestarian makanan negeri,” katanya ketika merasmikan Bazar Pelancongan Durian Sabah 2025 dan pelancaran brosur berkenaan di Dewan DKing, Persisiran Air Segama, di sini, semalam.

Jamawi berkata, brosur itu turut menjadi platform promosi penting kepada petani dan usahawan agro dengan membuka akses kepada pasaran baharu serta menjana pendapatan mampan melalui sektor pelancongan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penanam Durian dan Buah Tropika Sabah (MaSDa), Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism dan FAMA Sabah atas kerjasama strategik yang membuktikan sinergi pertanian dan pelancongan mampu mengangkat hasil tempatan ke peringkat global.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua daerah, persatuan pertanian serta penggiat industri pelancongan agar memperbanyakkan produk agropelancongan berasaskan kekuatan lokaliti masing-masing.

“Sama ada di tanah tinggi Kundasang, ladang koko di Tawau atau kampung nelayan di Pantai Timur, setiap lokasi mempunyai kisah dan pengalaman unik untuk diketengahkan kepada dunia,” katanya.

Jamawi yakin agropelancongan Sabah mempunyai masa depan cerah dan berpotensi besar, selain menuntut komitmen semua pihak sebagai penjaga tanah serta warisan pertanian negeri.