SIPITANG: Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) diyakini mampu menjadi pemacu utama agenda Sabah First, khususnya dalam menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat negeri ini.
Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kira-kira 90 peratus kawasan SOGIP telah dikomitmenkan kepada pelaburan yang diluluskan, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap potensi taman perindustrian berkenaan.
“SOGIP bukan sahaja menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri, malah menyediakan peluang pekerjaan besar kepada rakyat Sabah, khususnya graduan tempatan dan penduduk Sipitang,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) di sini, semalam.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beberapa pelaburan yang diluluskan dijangka memulakan projek masing-masing pada awal tahun hadapan, sekali gus mengukuhkan kedudukan SOGIP sebagai hab industri strategik negeri.
Beliau turut berkongsi hala tuju kementerian serta berharap pasukan Sabah First di SOGDC terus diperkasakan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pemegang taruh, selain merealisasikan unjuran pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri.
Dalam lawatan itu, Ewon menyempurnakan upacara pecah tanah pembangunan Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual oleh E-Concern Borneo melibatkan pelaburan kira-kira RM1.1 bilion, serta meninjau pelaksanaan pelaburan Esteel bernilai sekitar RM31 bilion, antara pelaburan industri terbesar di SOGIP.
Beliau juga melawat projek jeti persendirian Esteel, pejabat projek PFLNG 3, projek Sipitang Utilities, PETRONAS Chemicals Fertiliser (SAMUR), selain tapak projek MOLF oleh SOGIP Port Sdn. Bhd. dan Petroventure Energy Sdn. Bhd.






