KUALA LUMPUR: Kerajaan dilaporkan bercadang mengurangkan kuota bulanan petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi Madani (Budi95) daripada 300 liter kepada 200 liter susulan lonjakan harga bahan api global.
Menurut laporan The Edge, pengumuman dijangka dibuat seawal minggu ini dengan pelaksanaan bermula April, di mana penggunaan melebihi had baharu itu akan dikenakan harga pasaran semasa.
Langkah itu dilihat sebagai usaha fiskal ketika kerajaan berdepan beban subsidi tinggi, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi amaran ia boleh mencecah RM24 bilion tahun ini jika harga minyak mentah global kekal melebihi AS$110 setong.
Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan harga RON97 naik 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April, manakala diesel di Semenanjung meningkat 80 sen kepada RM5.52 seliter.
Harga RON95 tanpa subsidi turut naik kepada RM3.87 seliter, namun harga bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter di bawah Budi95.
“Kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat, manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat mengikut kenaikan global,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan turut memperketat kawalan termasuk larangan penjualan RON95 kepada kenderaan asing serta pembelian lebih 20 liter tanpa permit bagi mengekang ketirisan subsidi.






