KOTA KINABALU: Tindakan susulan telah dilaksanakan secara bersepadu susulan penyalahgunaan nama dan logo Universiti Malaysia Sabah (UMS) di platform media sosial, kata Naib Canselornya, Datuk Kasim Mansor.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan segera dan berkesan selain memelihara integriti serta reputasi universiti.
“UMS telah melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kandungan dan akaun berkaitan, selain mengambil tindakan susulan melalui saluran yang bersesuaian termasuk aspek perundangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, universiti turut memperkukuh saluran komunikasi rasmi sebagai rujukan utama bagi memastikan setiap maklumat yang dikongsi adalah tepat, sahih dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Dalam pada itu, Kasim menegaskan bahawa identiti universiti merupakan amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab oleh seluruh warga kampus.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan agar sebarang perkara berkaitan hal ehwal pelajar atau kenyataan yang mewakili universiti disalurkan melalui saluran rasmi serta diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memastikan penyampaian lebih tersusun dan berkesan.
Sebagai Naib Canselor, beliau turut menyeru warga UMS untuk mengamalkan komunikasi yang berhemah, berfakta serta saling menghormati selaras dengan nilai universiti sebagai “Brain of Borneo”.
Tambah beliau, UMS akan terus komited dalam memelihara kepercayaan masyarakat serta memastikan persekitaran kampus kekal inklusif, bertanggungjawab dan berintegriti.
Orang ramai juga dinasihatkan agar merujuk kepada saluran rasmi universiti bagi mendapatkan maklumat yang sahih.






