Monsoi Point Angkat Imej Daerah Kuala Penyu

Monsoi Point Angkat Imej Daerah Kuala Penyu

0
SHARE
Limus
Limus membuka tirai plak sebelum menandatanganinya sebagai simbolik penjenamaan Monsoi Point ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUALA PENYU, SABAH – Menggunakan perkataan etnik Dusun Tetama “monsoi” bermaksud baik, Majlis Daerah Kuala Penyu kini komited mengangkat imej daerahnya.

Mahu dilihat sebagai kesinambungan kepada Monsoi Square, MDKP mengekalkan perkataan “monsoi” dalam projek tapak bazar Ramadan yang dinaik taraf dan dijenamakan sebagai Monsoi Point.

Menurut Pegawai Eksekutif MDKP, John Genchit, Monsoi Point mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam kalangan masyarakat di Kuala Penyu.

Katanya, selain pusat kegiatan ekonomi penduduk, Monsoi Point juga berfungsi sebagai bangunan serbaguna bagi penganjuran pelbagai karnival, majlis keramaian dan pusat pertemuan masyarakat di daerah ini.

“Monsoi Point merupakan projek naik taraf kepada bangunan lama iaitu bazar yang digunakan setahun sekali untuk bazar Ramadan.

“Setelah naik taraf, kita guna sepenuhnya sepanjang masa setiap hari pada awal pagi hingga jam 12 tengah malam.

“Sebelah pagi, ia digunakan oleh para peniaga kecil untuk menjual sayur-sayuran manakala pada sebelah petang dan malam ia menempatkan peniaga-peniaga pasar malam dan juga beberapa kiosk yang beroperasi.

“Kos projek ini dianggarkan dalam RM450,000 yang merangkumi bangunan sekali dengan jalan, dataran dan landskap yang siap sejak Oktober tahun lalu dan mula beroperasi awal tahun ini,” jelas beliau.

Tambah John, selain kapasiti sehingga 40 peniaga, bangunan terbuka serbaguna itu turut dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air, lampu, kamera litar tertutup (CCTV) dan paparan maklumat daerah menerusi paparan diod pancaran cahaya (LED).

Tidak cukup dengan bangunan yang selesa, MDKP juga menyediakan pelbagai pilihan barangan yang dijual dalam 20 kiosk.

Beliau ditemui media pada Majlis Perasmian Karnival Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Daerah Kuala Penyu yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury yang juga ADUN kawasan terbabit. — JABATAN PENERANGAN SABAH