Perayaan Tahun Baharu Cina Yang Dikongsi Bukti Toleransi Agama, Kaum

Perayaan Tahun Baharu Cina Yang Dikongsi Bukti Toleransi Agama, Kaum

0
SHARE
Limus
Limus (tengah) ketika menerima skrol Selamat Tahun Baharu Cina ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUALA PENYU, SABAH – Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang dikongsi dengan pelbagai kaum adalah bukti negara ini sentiasa mengamalkan toleransi agama dan budaya.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata tradisi unik itu merupakan asas yang kukuh dalam membina perpaduan sesuai dengan konsep kerajaan perpaduan dan Keluarga Madani.

“Tradisi ini sudah lama kita warisi daripada nenek moyang kita dahulu, jadi marilah kita terus menyemai toleransi demi kemajuan bersama dan generasi akan datang.

“Dengan amalan rumah terbuka yang sudahpun menjadi tradisi dalam mana-mana perayaan di negara kita ini, Tahun Baharu Cina yang akan tiba beberapa hari lagi akan memberikan ruang kepada sahabat handai dan kaum keluarga berinteraksi antara satu sama lain dengan semangat perpaduan dan persahabatan.

“Ini ditambah dengan sikap peramah dan kemesraan rakyat Malaysia ketika menyambut tetamu, rakan-rakan dan sanak saudara dalam rumah terbuka yang diadakan.

“Sesungguhnya, tradisi unik yang kita kongsi bersama ini merupakan asas yang kukuh dalam membina perpaduan selama ini,” ujar beliau.

Menurutnya, sambutan Tahun Baharu Cina juga berupaya menjadi platform untuk memelihara kesatuan rakyat sesuai dengan konsep Keluarga Madani menerusi sikap saling menghormati.

“Secara peribadi, saya berharap melalui perayaan seperti ini, kita dapat melupakan apa juga perbezaan yang wujud antara kita dari segi fahaman agama dan adat resam yang merupakan satu kelebihan yang sungguh istimewa di negara ini.

“Sesungguhnya, kepercayaan, semangat saling menghormati dan kejujuran merupakan ciri-ciri positif yang membolehkan kita memperkukuhkan semangat kekitaan seterusnya menikmati kehidupan yang harmoni dan sejahtera,” jelasnya ketika berucap merasmikan Karnival Perayaan Tahun Baharu Cina Daerah Kuala Penyu, di Monsoi Point.

Kira-kira 3,000 orang hadir ke karnival berkenaan yang dimeriahkan dengan pelbagai acara kebudayaan seperti persembahan Tarian Singa, Unicorn dan Naga, pemberian limau dan angpow kepada Pengerusi-pengerusi Tokong Daerah Kuala Penyu dan Beaufort, selain jualan pelbagai produk dan barang keperluan Tahun Baharu Cina.

Pada majlis sama, Limus turut merasmikan My Kiosk di samping penyampaian Kad Komitmen My Kiosk serta menandatangani plak penjenaman Monsoi Point, sebelum menyaksikan persembahan bunga api di Monsoi Square. — JABATAN PENERANGAN SABAH