Sembilan Telaga Tiub UMS Sedia Beroperasi Mulai 26 Mac Ini

Sembilan Telaga Tiub UMS Sedia Beroperasi Mulai 26 Mac Ini

0
SHARE
Juhar
Azmi (kiri), Kasim (dua dari kiri), Luqman (dua dari kanan) dan Mohd Khairuddin (kanan) bergambar kenangan bersama Tun Juhar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak sembilan telaga tiub dijangka mula beroperasi 26 Mac ini bagi mengatasi masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata daripada jumlah tersebut satu telaga tiub telah beroperasi, lima telaga telah selesai proses penggerudian dan dalam fasa pengujian kualiti air manakala tiga lagi dalam fasa penggerudian.

“Setakat ini pihak kontraktor dalam proses menggerudi tiga telaga dengan kedalaman setiap satu antara 80 hingga 120 meter ke bawah dasar bumi dengan setiap telaga tiub boleh menjana antara 120,000 hingga 150,000 liter air satu hari.

“Di UMS kita memerlukan sekurang-kurangnya antara tiga hingga lima juta liter air sehari bagi menampung penggunaan 20,000 pelajar dan kakitangan.

“Melalui sembilan telaga tiub ini ia akan dapat menampung sekurang-kurangnya 1.2 juta liter air sehari melalui sumber air bawah tanah.

“Sumber air yang diperolehi daripada telaga tiub ini hanya digunakan untuk tujuan pembersihan atau penyelenggaraan terutama di bangunan asrama pelajar dan bukan digunakan untuk tujuan penyediaan makanan serta minuman.

“Adalah menjadi harapan agar usaha ini sedikit sebanyak dapat menyelesaikan isu masalah air di UMS sementara menunggu penyaluran bekalan air terawat oleh JANS sekurang-kurangnya tiga juta liter air sehari pada semester akan datang,” ujarnya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada Rabu.

Kunjungan di Istana Seri Kinabalu tersebut diadakan bagi mendapat perkenan Tun Juhar berhubung penyambungan lantikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Pro Canselor UMS bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Januari lalu.

Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Ketua Bahagian Perhubungan Korporat, Azmi Jumat dan Penolong Pendaftar Kanan, Mohd Khairuddin Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH