KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kerana menggaji kru tanpa permit sah dalam rondaan rutin kira-kira 0.70 batu nautika di utara Pulau Manukan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya mengesan pergerakan bot yang mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan di lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 12 kru termasuk nakhoda berada di atas vesel berkenaan, dengan lima daripadanya disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan Pas Lawatan Sosial tanpa permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, vesel itu turut disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa jumlah kru mencukupi seperti ditetapkan pihak pelabuhan.
Kesemua kru berusia antara 21 hingga 54 tahun itu merupakan warganegara Indonesia dan telah diiring masuk ke jeti untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia turut menyita vesel berkenaan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2 juta.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kesalahan imigresen dan keselamatan pelayaran.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut kepada pihak berkuasa.






