Marché Kota Kinabalu Lonjak Ekonomi Tempatan, Buka Peluang Kerja Baharu

Marché Kota Kinabalu Lonjak Ekonomi Tempatan, Buka Peluang Kerja Baharu

0
SHARE

KOTA KINABALU: “Apa yang kita saksikan hari ini bukan sekadar pengenalan sebuah projek pembangunan, tetapi mencerminkan keyakinan terhadap masa depan Kota Kinabalu, potensi Sabah yang terus berkembang serta keupayaan kita merancang pembangunan yang lebih inklusif dan berdaya manfaat kepada masyarakat,” kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika merasmikan Acara Pratonton Eksklusif Projek Marché Kota Kinabalu, pada Selasa.

Beliau berkata, pembangunan seperti Marché Kota Kinabalu dijangka memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menjadikan bandar raya ini lebih dinamik dan berdaya saing.

Projek pembangunan gaya hidup oleh TBMC Group itu dibangunkan di atas keluasan 7.45 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM60 juta, dan direka sebagai destinasi terbuka yang menggabungkan elemen makanan dan minuman, runcit, kecergasan, perkhidmatan serta ruang komuniti.

Marché Kota Kinabalu turut melengkapkan pembangunan sedia ada TBMC Group di sepanjang Jalan Lintas termasuk Starbucks Drive-Thru dan Regas Premium BMW Showroom, sekali gus membentuk hab gaya hidup, runcit dan automotif bersepadu meliputi keluasan keseluruhan 9.95 ekar.

Projek ini menawarkan 108 unit dengan keluasan bersih boleh sewa kira-kira 155,000 kaki persegi dan menggunakan konsep 100 peratus sewaan tanpa jualan strata, bagi memastikan pengurusan penyewa lebih tersusun serta keseimbangan jenama yang mampan.

Pembangunan akan dilaksanakan secara berfasa dengan Fasa 1 dijadualkan siap pada Jun 2026, diikuti Fasa 2 pada September 2026 dan Fasa 3 pada Jun 2027.

Dalam pada itu, beberapa penyewa utama turut diumumkan termasuk jenama pasar raya sukan antarabangsa yang bakal membuka kedai perdana pertama di Sabah, Texas Chicken dengan konsep pandu lalu, Tong Hing Supermarket bersama Café on Fifty5, Kyro Fitness serta Marché Food Hub yang dioperasikan bersama Dojo Nanyang Coffeehouse.

Sementara itu, wakil TBMC Group, Datuk Matthew berkata, pihaknya komited membangunkan sebuah destinasi yang memberi nilai jangka panjang kepada komuniti setempat.

“Marché bukan sekadar projek komersial, tetapi sebuah ruang sosial moden yang menggalakkan interaksi, pengalaman dan kebersamaan, di samping menjadi platform kepada perniagaan, usahawan muda dan jenama baharu,” katanya.