Sapu Bersih Emas, Ivana Anak Sabah, Sah Wakil Malaysia ke Dance World...

Sapu Bersih Emas, Ivana Anak Sabah, Sah Wakil Malaysia ke Dance World Cup 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penari balet muda Sabah, Ivana Iman Mohammad Ezral, mencipta sensasi apabila menyapu bersih pingat emas dalam semua kategori yang disertainya pada Dance World Cup Malaysia Qualifier 2026 baru-baru ini, sekali gus dinobatkan sebagai Best Overall Solo dan mengesahkan tempat ke Grand Finals Dance World Cup 2026 di Dublin, Ireland, Julai ini.

Ivana akan mewakili Malaysia dalam empat kategori iaitu Ballet Repertoire (Solo), Neoclassical Ballet (Solo), Ballet Any Style (Solo) serta Duo/Trio Children Ballet Any Style/Neoclassical bersama Tiara Izz Zayani.

Pada kejohanan kelayakan itu, beliau mendominasi pentas dengan meraih emas bagi kesemua kategori solo balet, sekali gus membuktikan keunggulan teknik dan persembahan yang konsisten berbanding pesaing dari seluruh negara.

Pengiktirafan Best Overall Solo yang diterimanya mengesahkan Ivana sebagai penari solo terbaik keseluruhan pertandingan, sekali gus membuka laluan rasmi untuk bersaing di pentas dunia.

Sebelum ini, Ivana turut mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila meraih tempat kedua kategori Ballet Repertoire pada Grand Finals Dance World Cup 2025 di Burgos, Sepanyol, dengan perbezaan tipis 0.7 peratus di belakang wakil England, selain memperoleh tempat ketiga bagi kategori Junior Small Group Classical Ballet.

Kejayaan berterusan ini adalah hasil latihan intensif serta bimbingan jurulatih berpengalaman termasuk Coach Shamsul Malawi, Mohd Aidil (Dielo), Yolanda Chong dan Miss Josetta yang menekankan aspek teknik, kekuatan fizikal dan seni persembahan.

Di Dublin nanti, perhatian turut terarah kepada persembahan duo Ivana bersama Tiara Izz Zayani yang bakal menampilkan gabungan balet klasik dan folklor Borneo, sekali gus memperkenalkan identiti budaya Malaysia di pentas antarabangsa.

Penyertaan mereka mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; serta Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, dengan harapan lebih banyak pihak tampil membantu misi membawa nama Sabah dan Malaysia ke peringkat dunia.