TAWAU: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan Perodua Viva yang dipandu mangsa dipercayai terlelap sebelum bertembung dengan Proton Saga di Jalan Merotai ke Tawau, sebelum Merotai Kecil, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, Perodua Viva berkenaan dilaporkan memasuki laluan bertentangan ketika melalui satu selekoh sebelum bertembung secara hadapan dengan Proton Saga yang dipandu seorang wanita.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi dan menggerakkan sembilan anggota bersama jentera ke lokasi kejadian sejauh 44 kilometer.
“Setibanya pasukan pada jam 8.18 pagi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan pertembungan hadapan antara dua kenderaan.
“Seorang wanita yang menaiki Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu Proton Saga mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, akibat impak pelanggaran tersebut, kenderaan Perodua Viva turut berpusing sebelum melanggar sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux, namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu kenderaan itu.
Tambah beliau, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat termasuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas serta memberikan rawatan awal kepada mangsa cedera sebelum diserahkan kepada pihak KKM.
“Pasukan turut melaksanakan kerja-kerja pencegahan kebakaran dan pembersihan serpihan di atas jalan raya bagi memastikan keselamatan pengguna lain,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM bagi membantu operasi serta menjalankan siasatan lanjut.






