Isu ‘Nadzriofficial’ Tayang Minum Arak: Laporan Polis Dibuat, Tindakan JHEAINS dan SKMM...

Isu ‘Nadzriofficial’ Tayang Minum Arak: Laporan Polis Dibuat, Tindakan JHEAINS dan SKMM Menyusul

0
SHARE

KENINGAU: Laporan polis telah dibuat berhubung tindakan seorang individu yang didakwa memuat naik rakaman dirinya meminum arak di media sosial menggunakan akaun Facebook “Nadzriofficial”, dengan tindakan lanjut oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijangka menyusul.

Pengerusi Pertubuhan Utusan Marhaen Keningau, Shahrizal Mohd Shom berkata, tindakan individu yang mengaku sebagai pempengaruh itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

“Sebagai individu yang mempunyai ramai pengikut, sepatutnya beliau menunjukkan contoh yang baik. Apa yang dimuat naik mencerminkan diri seseorang, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara sensitif dan bertentangan dengan ajaran agama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad selepas membuat laporan polis tersebut.

Menurutnya, perbuatan meminum arak secara terbuka oleh individu beragama Islam serta menyiarkannya di media sosial merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 (Sabah).

Sehubungan itu, beliau menggesa JHEAINS mengambil tindakan tegas bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang dan tidak menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

“Kita sudah muak dengan sikap tidak bertanggungjawab yang hanya meminta maaf selepas melakukan kesalahan, namun mengulanginya kembali. Perkara ini mesti dihentikan dan dijadikan pengajaran kepada semua,” tegasnya.

Terdahulu, individu terbabit didakwa memuat naik satu rakaman video di Facebook yang menunjukkan dirinya meminum arak di sebuah pusat hiburan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Shahrizal turut menegaskan bahawa semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial agar tidak menimbulkan kontroversi atau melanggar norma agama serta undang-undang.