KOTA KINABALU: Usaha memuktamadkan formula serta jumlah bayaran 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah perlu diteruskan tanpa gangguan walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, keputusan penangguhan itu tidak seharusnya memperlahankan atau menghentikan proses yang sedang berjalan, sebaliknya momentum kerja perlu diperkukuhkan bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh terdekat.
“Sehubungan itu, saya menggesa Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah untuk meneruskan proses pengiraan, pengesahan data serta rundingan teknikal yang telah dimulakan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurutnya, proses berkenaan melibatkan penilaian yang kompleks merangkumi tempoh panjang serta memerlukan penelitian menyeluruh terhadap data kewangan dan rekod sejarah.
Katanya, tempoh tambahan susulan penangguhan itu memberi ruang lebih mencukupi kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan setiap aspek secara teliti, telus dan berintegriti.
Beliau turut menegaskan bahawa formula pengiraan dan jumlah bayaran yang adil serta tepat perlu dimuktamadkan secepat mungkin, selaras dengan saranan Anwar Ibrahim agar isu 40 peratus diselesaikan secara tuntas berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan kepada Sabah.
“Komitmen kita jelas iaitu memastikan hak Sabah dilaksanakan dengan pendekatan bertanggungjawab, berasaskan fakta dan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengambil kira keadaan kewangan negara susulan krisis ekonomi akibat konflik di Timur Tengah, dengan keutamaan diberikan kepada usaha meminimumkan kesan krisis serta menjaga kebajikan rakyat.






