Berang Ditegur Nyalakan Lilin Waktu Siang, Lelaki Acu Gunting pada Wanita di...

Berang Ditegur Nyalakan Lilin Waktu Siang, Lelaki Acu Gunting pada Wanita di Kg Hidayat

0
SHARE

TAWAU: Tindakan menegur perbuatan menyalakan lilin di ruang tamu pada waktu siang membawa padah apabila seorang wanita warga emas berusia 58 tahun diugut dengan gunting oleh seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Hidayat Batu 4, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum menyedari lelaki yang dikenalinya bertindak agresif selepas ditegur berhubung perbuatannya itu.

“Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima maklumat kejadian amuk tersebut sebelum mengarahkan pasukan MPV bertugas ke lokasi bagi mengambil tindakan segera.

“Setibanya di lokasi, anggota MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau berjaya mengesan suspek, seorang lelaki berusia lingkungan 35 tahun, serta merampas sebilah gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut bersama barang rampasan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.