Lepasan SPM, STPM Perlu Berani Tentukan Hala Tuju, Pertanian Tawar Peluang Baharu

Lepasan SPM, STPM Perlu Berani Tentukan Hala Tuju, Pertanian Tawar Peluang Baharu

0
SHARE

KUNDASANG: Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menegaskan lepasan SPM dan STPM perlu berani menentukan hala tuju kerjaya mengikut minat dan kebolehan masing-masing.

Beliau berkata, keyakinan diri dan keberanian membuat keputusan penting ketika melangkah ke fasa baharu, sama ada menyambung pengajian ke kolej, universiti atau menceburi latihan kemahiran.

“Keberanian membuat keputusan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah. Jangan takut mencuba bidang baharu selagi selari dengan potensi diri,” katanya.

Masidi berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Tamat Pengajian Tingkatan Enam SMK Mat Salleh Ranau di Hotel Perkasa semalam.

Menurut beliau, peralihan daripada alam persekolahan ke dunia pengajian tinggi atau pekerjaan memerlukan kesiapsiagaan mental dan emosi, selain sikap terbuka untuk terus belajar.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan lepasan sekolah mempertimbangkan sektor pertanian sebagai pilihan kerjaya, yang kini semakin berkembang melalui penggunaan teknologi moden dan inovasi.

“Pertanian mempunyai potensi besar dan mampu menjadi sumber pendapatan stabil serta membuka peluang keusahawanan kepada golongan muda,” katanya.

Masidi turut menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam sektor berkenaan bagi memastikan kelangsungan industri serta meningkatkan daya saing negara.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada sekolah sebagai penghargaan kepada guru, khususnya tenaga pengajar Tingkatan Enam.

Seramai 108 pelajar turut menerima sijil tamat pengajian Tingkatan Enam Semester 3 sesi 2025.