KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori kontena dalam kemalangan di Jalan Kionsom, Inanam, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.37 malam itu, kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan kereta Perodua Axia yang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Terdapat dua mangsa tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, seorang lagi mangsa berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
“Pemandu lori kontena berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Operasi yang turut melibatkan KKM dan PDRM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam selepas keadaan disahkan selamat.






