KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kini sedang melaksanakan dua kajian utama termasuk semakan kadar tambang perkhidmatan kereta api serta kajian kebolehlaksanaan laluan baharu, kata Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, kedua-dua kajian itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri Sabah selepas dimuktamadkan.
“Dua kajian itu ialah melibatkan semakan kadar tambang perkhidmatan kereta api serta kajian kebolehlaksanaan laluan baharu dari Putatan ke Kota Kinabalu, seterusnya ke Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hingga ke Pelabuhan Sepanggar.
“Kajian semakan kadar tambang kini telah mencapai kemajuan sebanyak 90 peratus dan akan dibentangkan terlebih dahulu kepada kementerian sebelum dibawa ke Kabinet Negeri untuk pertimbangan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Majlis Sanjungan Budi anjuran JKNS, di sini, pada Selasa.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kajian kebolehlaksanaan laluan Putatan–Kota Kinabalu–KKIP–Sepanggar dijangka mengambil tempoh selama 12 bulan dan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan negeri untuk memperluas rangkaian perkhidmatan kereta api di Sabah.
“Saya memilih untuk menunggu kajian ini siap sepenuhnya, khususnya kajian semakan kadar tambang yang hampir selesai, sebelum dibentangkan kepada kementerian dan seterusnya kepada Jemaah Menteri Sabah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan JKNS turut menyumbang pandangan kepada kajian kebolehlaksanaan projek Trans Borneo Railway yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.
Selain itu, kementeriannya juga akan memulakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah pada tahun ini dengan penglibatan JKNS dalam jawatankuasa pemandu dan teknikal.
Pada majlis sama, seramai 32 pegawai dan kakitangan JKNS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 23 lagi diraikan sempena persaraan mereka.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima anugerah dan pesara atas sumbangan serta kecemerlangan perkhidmatan mereka.
“Saya yakin pencapaian ini mampu menjadi inspirasi kepada penjawat awam lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, bukan sahaja di JKNS tetapi juga dalam perkhidmatan awam negeri secara keseluruhan,” katanya.






