Dua Beradik Dihukum PKW Selama Sembilan Bulan, Gaduh Tempat Awam di Semporna...

Dua Beradik Dihukum PKW Selama Sembilan Bulan, Gaduh Tempat Awam di Semporna Tahun Lalu

0
SHARE

SEMPORNA: Dua beradik lelaki tempatan dijatuhi hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin  selepas didapati bersalah melakukan kesalahan gaduh gempar di tempat awam di Dataran Semporna Corner Light View (SCLV), tahun lalu.

Sharul Azman Kasim, 24, dan adiknya, Shahrul Azwan Kasim, 22, disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret, Don Stiwin Malanjum dalam penghakimannya memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani kerja khidmat sosial selama empat jam sehari sepanjang tempoh sembilan bulan di bawah PKW.

Dalam prosiding perbicaraan, pihak pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah berjaya membuktikan kes terhadap kedua-dua tertuduh melampaui keraguan munasabah berdasarkan keterangan saksi serta bahan bukti yang dikemukakan.

Majistret turut menegaskan bahawa kesalahan gaduh gempar di tempat awam merupakan satu perbuatan serius kerana boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, PKW adalah hukuman alternatif tanpa pemenjaraan yang bertujuan memulihkan pesalah selain memberi peluang mereka berkhidmat kepada masyarakat di bawah seliaan pihak berkuasa.

“Sekiranya pesalah gagal mematuhi perintah tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan lanjut termasuk dihantar ke penjara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis memandang serius sebarang perlakuan ganas di tempat awam dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.

Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengawal emosi serta menyelesaikan sebarang perselisihan secara aman tanpa melibatkan sebarang bentuk keganasan.