KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Sabah mengarahkan semua ikan koi (Cyprinus sp.) dikeluarkan segera dari kawasan tagal dan perairan umum di seluruh negeri susulan pengesanan penyakit Koi Herpesvirus (KHV) yang menjejaskan spesies ikan tempatan.
Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Pengarah Perikanan Sabah Bilangan 1/2026 yang dikeluarkan pada 8 April lalu sebagai langkah kawalan biosekuriti bagi melindungi sumber perikanan darat serta mengekang penularan penyakit berbahaya berkenaan.
Pengarah Perikanan Sabah, Dr. Shuhadah Mustapha berkata, penyakit KHV yang dikesan telah menjangkiti ikan pelian (Tor sp.) di beberapa sungai tagal negeri ini dan berpotensi menyebabkan kadar kematian tinggi serta merebak dengan pantas.
“Spesies ikan koi merupakan perumah kepada penyakit KHV dan bukan spesies endemik Sabah, sekali gus memberi risiko besar terhadap keseimbangan ekosistem serta kelangsungan spesies ikan tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, semua Pengerusi Jawatankuasa Tagal diarahkan mengenal pasti punca kehadiran ikan koi di kawasan masing-masing serta mengeluarkan spesies tersebut dari sungai dan kolam yang berkongsi sumber air dengan kawasan tagal dengan kadar segera.
Selain itu, mereka juga dikehendaki memastikan tiada aktiviti pelepasan atau pemindahan ikan koi ke dalam perairan umum, melaksanakan pelupusan mengikut garis panduan biosekuriti yang ditetapkan serta mengemukakan laporan pelaksanaan kepada Pejabat Perikanan Daerah dalam tempoh 14 hari.
Menurut pekeliling itu, tindakan berkenaan selaras dengan Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur Sabah 2003 serta peraturan berkaitan kawalan penyakit ikan dan biosekuriti.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Sabah akan menjalankan pemantauan berkala melalui Pejabat Perikanan Daerah bagi memastikan pematuhan terhadap arahan tersebut, dengan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhinya.
Langkah tersebut dilihat penting dalam memastikan kelestarian ekosistem perairan darat Sabah terus terpelihara serta mengelakkan penularan penyakit yang boleh menjejaskan industri perikanan negeri.






