KOTA KINABALU, SABAh – Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi pendirian bahawa semua pendatang tanpa izin (PATI) di negeri ini harus dihantar pulang sekaligus menggesa pembentukan jawatankuasa bipartisan di Dewan Undangan Negeri bagi mencari penyelesaian yang efektif bagi masalah itu.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata input daripada semua pihak berkenaan adalah penting bagi memastikan tindakan yang diambil dalam menangani masalah itu menerima sokongan penuh dan tidak dipersoal atau dipolitikkan.
“Membandingkan cadangan awal untuk mengeluarkan Kad Pekerja Warga Asing oleh kerajaan sedia ada dengan Pas Sementara Sabah yang diperkenalkan oleh kerajaan Warisan sebelum ini hanya akan merumitkan usaha menyelesaikan masalah PATI di negeri ini,” katanya.
Beliau mengulas reaksi pelbagai pihak berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada 10 Februari bahawa satu kad khas akan dikeluarkan kepada setiap warga asing tanpa izin yang telah menetap di Sabah sejak beberapa generasi.
Hamzah telah menyatakan bahawa kad tersebut hanya untuk merekod kehadiran PATI dan bukan pemberian status kewarganegaraan Malaysia atau pemastautin tetap.
Baru-baru ini, Joniston menyuarakan cadangan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk penubuhan jawatankuasa bipartisan kerana Sabah mempunyai kuasa penuh ke atas imigresen.
Beliau berkata demikian memandangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) baru-baru ini telah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan berikutan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, saya percaya pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan telus dan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri sebelum membuat sebarang keputusan untuk menangani isu PATI.
“Kita harus elak membuat andaian atau bertindak tergesa-gesa dan tunggu perincian lanjut daripada kerajaan negeri mengenai perbincangan awal dengan Putrajaya…
“Sebagai anak jati Sabah, saya percaya Ketua Menteri kita dan kepimpinan negeri tidak akan bersetuju dengan keputusan atau tindakan yang akan memudaratkan kepentingan rakyat asli Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan parti PBS tidak akan sekali-kali mengubah pendirian jelas yang telah lama dipegangnya mengenai isu pendatang tanpa izin.