KOTA KINABALU: Pejabat Parlimen Kota Kinabalu pada Ahad melaksanakan Program Penggantian Topi Keledar Percuma di Kampung Kopungit dan Taman Keramat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.
Sebanyak 100 unit topi keledar baharu diagihkan kepada penerima layak, melibatkan penduduk setempat serta penunggang penghantar makanan yang dikenal pasti memerlukan.
Di Kampung Kopungit, seramai 50 penerima terlibat terdiri daripada 45 dewasa dan lima kanak-kanak, manakala di Taman Keramat melibatkan 50 penerima iaitu 39 dewasa dan 11 penunggang p-hailing.
Program ini dilaksanakan secara lebih tersasar berbanding pendekatan terdahulu, dengan penerima dikenal pasti melalui ketua kampung, ketua blok serta penilaian bersama pihak berkaitan, khususnya dalam kalangan penghantar makanan.
Inisiatif tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, dengan syarat penerima menukar topi keledar lama yang rosak atau tidak menepati spesifikasi keselamatan.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata, program berkenaan bertujuan mengurangkan risiko kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya, selain meningkatkan kesedaran penggunaan topi keledar yang selamat.
“Program ini dimulakan di dua kawasan ini untuk melihat sambutan. Sekiranya mendapat maklum balas positif, kita akan mempertimbangkan untuk meluaskannya ke kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata penggunaan motosikal di kawasannya tidak begitu besar kerana majoriti penduduk menggunakan kereta, namun pendekatan akan datang mungkin memberi fokus kepada golongan penghantar makanan.
“Golongan rider seperti Foodpanda dan Grab sentiasa berkhidmat kepada masyarakat, jadi mereka antara kumpulan yang boleh diberi keutamaan pada masa akan datang,” katanya lagi.






