KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan Roadmap Pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan Super App DBKK sebagai langkah signifikan ke arah memperkukuh usaha pendigitalan serta transformasi penyampaian perkhidmatan kepada warga bandar raya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Joniston Bangkuai berkata, roadmap pembangunan EA berfungsi sebagai panduan strategik DBKK dalam menyelaraskan komponen teras organisasi meliputi sumber manusia, proses, data, sistem dan teknologi.
“Pendekatan itu menjadi asas penting dalam merealisasikan transformasi digital DBKK secara lebih tersusun dan bersepadu,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran itu di sini, pada Ahad.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj yang memaparkan perjalanan pembangunan roadmap EA dan Super App DBKK, bermula dari peringkat perancangan sehingga pelancarannya.
Roadmap pembangunan EA itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggabungkan kepakaran akademik, teknikal serta pengalaman operasi bagi memastikan pelaksanaan yang holistik dan mampan.
Menerusi pelancaran tersebut, DBKK turut menggariskan visi pembangunan Super App DBKK sebagai satu platform dengan pelbagai saluran serta sifar kerumitan, sekali gus memudahkan orang awam mengakses perkhidmatan yang ditawarkan.
Pelancaran roadmap EA dan Super App DBKK itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan tersebut dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas, telus dan mesra rakyat, selari dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya pintar, kukuh dan lestari.






