KPDN Sabah Tumpas Penyelewengan Diesel Subsidi di Penampang, Rampasan RM12 Ribu

KPDN Sabah Tumpas Penyelewengan Diesel Subsidi di Penampang, Rampasan RM12 Ribu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi OPS TIRIS 4.0 dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Penampang pada Jumaat lalu.

Serbuan hasil risikan itu mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mengisi diesel melebihi had dibenarkan ke dalam tangki tambahan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan tangki IBC berkapasiti 1,000 liter mengandungi kira-kira 250 liter diesel.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM12,897.35, termasuk kenderaan, pam elektrik, hos dan resit pembelian.

“Tindakan ini adalah hasil pemantauan rapi dan risikan berterusan terhadap aktiviti mencurigakan di stesen-stesen minyak sekitar Kota Kinabalu.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik.