PENAMPANG: Permainan kad dagangan (TCG) dilihat sebagai medium berkesan dalam mengasah minda serta membangunkan potensi belia, sekali gus wajar diberi perhatian dan sokongan oleh pihak berkaitan kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, kata Persatuan Peminat dan Pengumpul Permainan Kad Dagangan Sabah (STRAGECA).
Presidennya, Aliff Azmie berkata, hobi berkenaan bukan sekadar permainan, malah mampu meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri serta kebolehan berfikir secara kritikal dalam kalangan pemain, khususnya golongan pelajar.
“TCG merupakan satu aktiviti sihat yang mampu membentuk kemahiran sosial dan intelektual. Ia juga membantu pemain membuat keputusan secara strategik serta menyelesaikan masalah dengan lebih kreatif.
“Namun, kita berharap agar hobi ini diberi perhatian sewajarnya kerana ramai belia Sabah sebenarnya mempunyai potensi besar dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program anjuran STRAGECA bersempena pelancaran set baharu Magic: The Gathering – Secret of Strixhaven yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad di kedai permainan R916, Megalong, Penampang.

Menurut Aliff, ramai anak-anak Sabah dalam kalangan belia telah berjaya mewakili negeri ke peringkat nasional, malah ada yang melangkah ke peringkat antarabangsa mewakili Malaysia dalam permainan TCG.
Bagaimanapun, katanya, kekurangan pendedahan serta sokongan menyebabkan pemain terpaksa menanggung sendiri kos penyertaan yang tinggi.
“Ada yang sudah layak mewakili Sabah, namun terpaksa menarik diri kerana kos perjalanan yang tinggi. Ini menunjukkan perlunya sokongan lebih menyeluruh agar bakat tempatan tidak terpinggir,” katanya.
Program tersebut dianjurkan bagi menarik penyertaan pemain baharu, khususnya pelajar, selain memperkenalkan TCG kepada masyarakat serta menghapuskan salah faham terhadap hobi berkenaan, terutama dalam kalangan ibu bapa.
Sepanjang program itu, seramai 20 peserta hadir pada hari pertama, dengan sasaran keseluruhan melebihi 50 penyertaan, majoritinya terdiri daripada pelajar yang baru mencuba permainan tersebut.
Sementara itu, pemilik kedai R916, Ericson Lotidis menyambut baik penganjuran program tersebut dan menyifatkan sambutan yang diterima sebagai amat menggalakkan.
“Kami gembira melihat penyertaan pelajar yang ramai. Ini menunjukkan minat terhadap TCG semakin berkembang dan program seperti ini wajar diperbanyakkan dengan sokongan semua pihak,” katanya.
Bagi peserta, Aaron Tan yang merupakan pelajar kolej berkata, pengalaman pertamanya bermain Magic: The Gathering sangat kreatif dan menyeronokkan.

“Permainan ini memberi cabaran berbeza, terutama apabila saya dapat menggunakan kad ‘spell’ semasa giliran lawan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Faylinn Tan berkata, walaupun pada awalnya agak sukar, namun komuniti yang mesra membantu memudahkan pembelajaran.

“TCG memerlukan pemikiran kritikal dalam membuat keputusan dan itu yang menjadikannya menarik,” katanya.
Program seumpama ini dilihat berpotensi besar dalam memperkasa pembangunan belia melalui aktiviti berunsur intelektual dan sosial, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk menyerlah dalam bidang berkenaan.






