KOTA BELUD: Mangsa kedua yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, ditemui pada hari ketiga (Selasa) operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, ditemukan pada jam 2.45 petang oleh pasukan SAR di perairan Bira-biraan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak polis di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, operasi SAR pada hari ketiga dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan pembahagian tiga sektor pencarian.
“Operasi SAR dibahagikan kepada tiga sektor iaitu pencarian di pesisir pantai kiri dan kanan secara berjalan kaki serta operasi di laut menggunakan bot sebelum mangsa ditemui,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Hospital Kota Belud.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang pada 19 April lalu, sebuah bot yang dinaiki lapan lelaki keluar memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan.
Seramai enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas.
Seorang lagi mangsa yang hilang, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui lebih awal oleh orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian pada malam hari pertama operasi dan dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.
Elgie berkata, operasi SAR melibatkan 13 anggota bomba dari BBP Kota Belud dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), badan bukan kerajaan serta orang awam.
“Dengan penemuan kedua-dua mangsa, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang hari ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di laut, khususnya dalam keadaan cuaca tidak menentu.






