Cadangan Jadikan Tempat Letak Kereta Bertingkat Foh Sang Percuma 

Cadangan Jadikan Tempat Letak Kereta Bertingkat Foh Sang Percuma 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Luyang, Gee Tien Siong, mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Kota Kinabalu pada Khamis bagi mencadangkan agar tempat letak kereta bertingkat di Foh Sang dijadikan percuma untuk tempoh percubaan sepanjang tahun ini.

Cadangan itu dikemukakan susulan penggunaan yang rendah sejak kemudahan tersebut dibuka kepada orang ramai.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk caj penuh sepanjang hari termasuk pada cuti umum, kekurangan ketelusan kadar bayaran, serta kehilangan kira-kira 50 petak parkir biasa yang dahulunya percuma selepas waktu bekerja dan semasa cuti umum.

“Selain itu, tempat parkir di tepi jalan juga telah digantikan dengan landskap pokok bunga, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan pilihan parkir sedia ada.

“Sistem pembayaran menggunakan kad turut menjadi halangan bagi warga emas, sementara peniaga tempatan pula terjejas kerana kekurangan pelanggan akibat ketiadaan parkir percuma,” katanya.

Gee turut menegaskan bahawa bangunan itu pada asalnya dicadangkan sebagai kemudahan percuma untuk komuniti setempat oleh mendiang Datuk Terence Chong pada tahun 1997.

Beliau berharap tempoh percubaan itu akan membuka ruang untuk semakan semula terhadap sistem parkir yang digunakan ketika ini.