KOTA KINABALU: Sabah terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan berdaya saing apabila berjaya merekodkan lebih RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan pada tahun lalu, peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun 2024.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, pencapaian itu mencerminkan daya tahan ekonomi negeri yang kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran di peringkat domestik dan global sejak lima tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, prestasi memberangsangkan itu membuktikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi tinggi serta mampu menarik minat pelabur.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, Sabah telah memperlihatkan daya tahan ekonomi yang kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran. Dalam tempoh tersebut, Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah yang Ke-17, di sini, hari ini.
Tun Musa berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus diperkukuh, Kerajaan Negeri komited melaksanakan pendekatan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.
Katanya, pendekatan itu memberi penekanan kepada keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pengukuhan infrastruktur.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030 telah dilancarkan sebagai kerangka induk pembangunan negeri.
Menurutnya, pelan tersebut mengekalkan tiga teras utama iaitu sektor utama pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Pelan ini turut diperkukuhkan dengan penekanan strategik terhadap pembangunan ekonomi biru, pendigitalan serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Sementara itu, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebanyak 1,173 projek pembangunan telah dirancang, melibatkan 933 projek baharu dan selebihnya projek sambungan.
Beliau berkata, keseluruhan siling peruntukan yang diperakukan berjumlah RM12.024 bilion, meningkat sebanyak 141.62 peratus berbanding Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Peningkatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan Sabah ke tahap lebih tinggi,” katanya.






