JOHOR BAHRU: Kerajaan mempercepatkan tindakan undang-undang melibatkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 susulan pelaksanaan OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU), dengan 362 kes direkodkan hasil lebih 20,000 pemeriksaan di seluruh negara setakat 22 April lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) pada 6 April lalu menetapkan supaya keseluruhan proses siasatan, pendakwaan dan pendengaran kes disegerakan bagi memastikan tindakan lebih tegas terhadap pelaku penyelewengan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memastikan pihak yang terlibat dalam aktiviti ketirisan dan penyeludupan barang kawalan dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan tindakan undang-undang dapat dilaksanakan secara pantas dan berkesan, sekali gus menjadi mekanisme pencegahan bagi menjamin keterjaminan bekalan untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, selain memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mempercepatkan penyediaan kertas siasatan.
Katanya, antara cadangan yang dikemukakan termasuk penyediaan saluran “fast-track”, penetapan hakim khusus serta penyelarasan pengurusan kes antara agensi bagi mempercepatkan proses pendengaran dan pelupusan kes.
“Keutamaan akan diberikan kepada kes melibatkan kartel sindiket, manakala pendekatan perundingan akuan atau ‘plea bargaining’ akan dipertimbangkan bagi kes kecil bagi mempercepatkan pendakwaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU) yang dilaksanakan sejak 16 Mac lalu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa merangkumi sektor daratan, perairan dan sempadan.
Menurutnya, daripada 362 kes direkodkan, penyelewengan bahan api diesel mencatat jumlah tertinggi sebanyak 157 kes, diikuti petrol (78 kes), gas petroleum cecair atau LPG (49 kes), minyak masak (42 kes), gula (26 kes) dan tepung gandum (10 kes).
Selain itu, sebanyak 105 individu telah ditahan sepanjang tempoh operasi tersebut.
Di Johor, katanya, sebanyak 2,227 pemeriksaan telah dilaksanakan dengan 23 kes direkodkan, termasuk 13 kes melibatkan diesel dan dua kes melibatkan petrol.
Armizan berkata, tindakan penguatkuasaan agresif ini menjadi semakin penting susulan krisis tenaga global yang turut memberi kesan kepada bekalan, sekali gus memerlukan kawalan rapi bagi mengelakkan ketirisan.
“KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan melalui pendekatan berasaskan risikan, penggunaan data serta kerjasama strategik merentas agensi,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu usaha membanteras aktiviti tersebut.






