RM300,000 Diperuntuk Untuk Bina Semula Titian Kg Selamat Lok Urai

RM300,000 Diperuntuk Untuk Bina Semula Titian Kg Selamat Lok Urai

0
SHARE

PUTRAJAYA: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM300,000 bagi pembinaan semula titian di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah susulan insiden titi roboh yang mengancam keselamatan penduduk, baru-baru ini.

Insiden yang berlaku pada 22 Mac lalu itu mengakibatkan beberapa penduduk terjatuh ke laut ketika kunjungan Aidilfitri, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluluskan peruntukan khas tersebut sebagai langkah segera bagi memastikan kemudahan asas penduduk setempat berada dalam keadaan selamat dan lebih kukuh.

Menurut kenyataan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, peruntukan itu akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula titian pejalan kaki yang lebih selamat, menggantikan struktur lama yang uzur serta berisiko.

Keselamatan dan kualiti hidup rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan, dengan komitmen memastikan tiada komuniti terpinggir daripada menikmati kemudahan asas yang selamat,” menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan projek berkenaan akan dipantau oleh ICU JPM Negeri Sabah bagi memastikan ia disiapkan segera demi kemudahan penduduk.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan rakyat, di samping memperkukuh pembangunan infrastruktur inklusif khususnya di kawasan perkampungan atas air.