KOTA KINABALU: Peralihan kepimpinan kepada generasi muda di Malaysia masih bergerak perlahan berikutan kekangan struktur parti politik yang lebih mengutamakan pengalaman, kata veteran UMNO merangkap mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, walaupun terdapat tanda-tanda perubahan ke arah kepimpinan lebih muda, realitinya banyak negeri masih diterajui oleh tokoh berpengalaman berusia lingkungan 60-an.
Keadaan ini, katanya, berpunca daripada hierarki parti yang kukuh, rangkaian naungan yang berakar umbi, serta kebimbangan terhadap potensi ketidakstabilan jika peralihan dilakukan secara mendadak.
“Malaysia tidak kekurangan pemimpin muda yang berkaliber, namun sistem sedia ada masih memberi keutamaan kepada faktor pengalaman,” katanya dalam satu catatan di Facebook, semalam.
Salleh menjelaskan bahawa hanya segelintir negeri memperlihatkan peralihan lebih jelas kepada kepimpinan muda. Antara contoh yang disebut ialah Amirudin Shari dan Onn Hafiz Ghazi, masing-masing Menteri Besar Selangor dan Johor.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa secara keseluruhan, landskap politik negara masih didominasi oleh pemimpin berpengalaman, sekali gus memperlahankan proses pembaharuan kepimpinan.
Dalam masa sama, Salleh berpandangan Malaysia kini berada dalam fasa “peralihan separa”, di mana wujud keseimbangan antara pemimpin lama dan muda, meskipun peralihan tersebut belum menjadi arus utama.
Beliau turut menarik perbandingan dengan landskap politik global, yang menurutnya masih dikuasai oleh pemimpin veteran seperti Xi Jinping, Narendra Modi, Vladimir Putin, dan Donald Trump, kesemuanya berusia dalam lingkungan 70-an.
“Perubahan sedang berlaku, tetapi belum lagi menjadi trend dominan,” katanya lagi.






