Hospital UMS Sasar Buka Kepada Awam Jun Ini, Fokus Perkhidmatan Pantas dan...

Hospital UMS Sasar Buka Kepada Awam Jun Ini, Fokus Perkhidmatan Pantas dan Bermaruah – Rahman

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) disasarkan untuk dibuka kepada orang awam seawal Jun tahun ini, dengan penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan yang pantas, cekap dan bermaruah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Datuk Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ketika ini HUMS memulakan operasi secara berperingkat dengan lima klinik telah diwujudkan, khusus untuk kegunaan warga universiti terlebih dahulu bagi memastikan semua sistem dan aliran perkhidmatan berada pada tahap optimum.

Lima klinik tersebut termasuklah Klinik Pakar Perubatan Keluarga; Klinik Obesiti; Klinik One Stop Diabetic Center; Klinik Dietetik dan; Klinik Psikiatri.

“Kita bagi perkhidmatan kepada warga UMS dahulu untuk memastikan semua sistem berjalan lancar. InsyaAllah, apabila semuanya telah stabil, kita akan buka kepada orang awam sekitar Jun tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pusat Perubatan Primer HUMS di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa aspek utama yang ingin dicapai adalah penyampaian perkhidmatan kesihatan yang bermaruah tanpa tempoh menunggu yang lama.

“Tiada perkhidmatan yang bermaruah jika pesakit perlu menunggu sehingga enam jam untuk berjumpa doktor. Itu bukan standard yang kita mahu capai. Sebab itu kita sedang mengurangkan birokrasi supaya rawatan dapat diberikan dengan lebih cepat dan efisien,” katanya.

Menurut beliau, HUMS turut dibangunkan dengan konsep hospital pintar (smart hospital) bagi menyokong pelaksanaan teknologi kesihatan moden pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah HUMS, Profesor Madya Dr. Malehah Mohd Noh berkata, sebanyak 15 klinik akan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung Mei meliputi pelbagai perkhidmatan termasuk perubatan am, sakit puan, pediatrik dan psikiatri.

“Jika semua sistem stabil, kita akan buka kepada awam pada bulan Jun. Buat masa ini, warga UMS membantu memberikan maklum balas bagi memastikan aliran perkhidmatan adalah cepat, cekap dan selamat,” katanya.

Beliau memaklumkan, hospital itu kini mempunyai 788 tenaga kerja yang mencukupi untuk fasa awal operasi pesakit luar, dengan perancangan untuk menambah kapasiti secara berperingkat.

Menurutnya, HUMS turut memberi tumpuan kepada penghasilan doktor pakar bagi menangani kekurangan tenaga pakar yang lebih kritikal di Sabah.

“HUMS kini mengambil sekitar 100 pelajar perubatan setiap tahun dan dijangka meningkat kepada lebih 150, namun kita perlu memastikan kualiti sentiasa terjamin dengan fokus kepada kepakaran,” jelasnya.

Dari segi pelaksanaan, katanya, tahun ini memberi tumpuan kepada perkhidmatan pesakit luar, diikuti pesakit dalam pada 2027, manakala operasi penuh 24 jam dijangka bermula pada 2028.

“Setiap fasa dilaksanakan secara teliti bagi memastikan semua sistem benar-benar bersedia dan selamat sebelum kita bergerak ke fasa seterusnya,” katanya.