ADUN Kerajaan, Pembangkang Perlu Bersatu Hati Tuntut Hak 40 Peratus Untuk Sabah...

ADUN Kerajaan, Pembangkang Perlu Bersatu Hati Tuntut Hak 40 Peratus Untuk Sabah Yang Lebih Baik – Madius

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau, menyeru semua wakil rakyat sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang supaya bersatu hati memperjuangkan hak 40 peratus hasil negeri bagi memastikan masa depan Sabah yang lebih kukuh dan sejahtera.

Berucap ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, beliau menegaskan tuntutan tersebut bukan sekadar isu politik, sebaliknya melibatkan maruah negeri, pembangunan serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Menurutnya, pelbagai cabaran yang dihadapi Sabah ketika ini termasuk kelewatan pembangunan, kekurangan peluang pekerjaan, kelemahan infrastruktur serta isu keterjaminan makanan berpunca daripada kedudukan kewangan negeri yang terhad.

“Segala isu yang saya bangkitkan ini, pelaburan, logistik dan bekalan makanan, semuanya kembali kepada satu punca utama iaitu wang.

“Persoalannya, sampai bila Sabah harus terus bergantung dan mengharapkan ihsan daripada pihak lain untuk membangunkan negeri sendiri,” katanya di sini, semalam.

Madius berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun kelemahan pelaksanaan serta kebergantungan berterusan kepada kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak projek penting tidak dapat direalisasikan mengikut keperluan rakyat.

Beliau turut memberi contoh pembangunan di POIC Lahad Datu yang masih berdepan isu asas seperti kekurangan bekalan air terawat, kelemahan logistik serta kelewatan projek akibat proses pembiayaan yang panjang.

Katanya, kelewatan kelulusan pembiayaan bagi menaik taraf kemudahan barge di kawasan itu menyebabkan kos projek meningkat hampir dua kali ganda daripada RM8 juta kepada RM16 juta, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur serta memperlahankan pembangunan negeri.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan isu keterjaminan makanan apabila Sabah ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 20 peratus daripada keperluan beras sendiri.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sumber kewangan negeri agar dasar pembangunan pertanian dan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Jika hak 40 peratus ini dikembalikan seperti yang diperintahkan mahkamah, di situlah letaknya maruah dan kekuatan kewangan Sabah.

“Dengan hak itu, Sabah boleh membina, Sabah boleh memimpin dan Sabah boleh berdiri sendiri tanpa perlu lagi menadah tangan,” katanya.

Beliau menegaskan rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu perubahan dan kini mahukan tindakan nyata daripada semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ADUN di negeri ini supaya mengenepikan perbezaan politik dan tampil sebagai satu pasukan dalam menuntut hak negeri demi memastikan Sabah lebih maju, makmur dan berdaya saing pada masa hadapan.