KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) memberi tumpuan kepada pasaran Asia Utara dan Asia Tenggara sebagai langkah strategik mengekalkan kestabilan industri pelancongan Sabah susulan peningkatan kos pengangkutan udara dan ketidaktentuan global.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, tindakan itu dilaksana melalui Lembaga Pelancongan Sabah terhadap negara China, Korea Selatan, Jepun serta negara-negara serantau yang kutang terkesan secara langsung oleh gangguna ruang udara global.
“Pendekatan itu penting bagi mengimbangi kebergantungan terhadap pasaran jarak jauh (long-haul) yang lebih terkesan dengan gangguan penerbangan antarabangsa serta kenaikan harga bahan api.
“Dalam masa sama, kita turut memperkukuh pasaran domestik bagi memastikan kelangsungan industri sekiranya berlaku penurunan ketibaan pelancong antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Justin Wong Yung Bin (Sri Tanjong – Warisan) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17.
Beliau menjelaskan, antara implikasi utama yang dihadapi industri ketika ini termasuk kenaikan tambang penerbangan, pengurangan kekerapan penerbangan, perubahan laluan serta penurunan sentimen perjalanan dari pasaran utama dunia.
Sehubungan itu, KePKAS turut merancang pelaksanaan sokongan dan insentif bersasar bagi membantu pemain industri mengurangkan tekanan kos, di samping memastikan rantaian penawaran pelancongan negeri terus mampan.
Selain itu, Sabah juga dipromosikan sebagai destinasi pelancongan premium bagi menarik pelancong berkualiti tinggi yang mempunyai kuasa perbelanjaan lebih besar, sekali gus membantu mengimbangi peningkatan kos perjalanan.
Dalam usaha memperkukuh daya tahan industri, kementerian bersama Lembaga Pelancongan Sabah telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri termasuk persatuan pelancongan, syarikat penerbangan dan pengusaha penginapan pada 19 dan 31 Mac lalu bagi menyelaras strategi bersama.
Tambah beliau, satu lagi sesi libat urus khas akan diadakan bagi membincangkan isu bekalan diesel yang dihadapi pengusaha pelancongan, sebagai langkah berterusan menyokong operasi industri.
Jafry menegaskan KePKAS akan terus komited memastikan industri pelancongan Sabah kekal berdaya tahan dan mampan, sekali gus terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.






