KOTA KINABALU: Liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di negeri ini telah mencapai 98.71 peratus setakat 28 Februari tahun ini berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan inisiatif Pelan Jendela.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib memaklumkan status pelaksanaan inisiatif itu mencapai beberapa perkembangan termasuk sebanyak 663 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi; kesemua 5,304 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf;
“Seterusnya terdapat 335,254 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik; dan kesemua 138 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit yang dikenali sebagai Broadband Wireless Access (BWA).
“Manakala bagi progress Pelan JENDELA di DUN Sekong, tiga menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, 98 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf, 6,441 premis yang disasarkan telah tersedia dengan capaian gentian optik dan dua lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit BWA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alias Sani (Sekong – Warisan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Tambah ADUN Sugut itu, terdapat 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi sepenuhnya di negeri ini menerusi inisiatif satu DUN satu NADI yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian internet untuk semua rakyat.






