SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas motosial yang ditunggangnya bertembung dengan Perodua Axia yang terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian kemalangan di Batu 10, Jalan Sungai Batang, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta jenis Perodua Axia.
Menurutnya, motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Batu 8 menuju ke Batu 12.
“Manakala kereta dipandu seorang individu dari arah bertentangan iaitu Batu 12 menghala ke Batu 8.
“Bagaimanapun, kereta berkenaan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, akibat perlanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian dada.
“Pemandu terbabit kini menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.






