Fitnah Ketua Menteri Sabah: G57 buat laporan polis, gesa siasatan segera

Fitnah Ketua Menteri Sabah: G57 buat laporan polis, gesa siasatan segera

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar membuat laporan polis berhubung penyebaran kandungan berunsur fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Balai Polis Sri Petaling, di sini pada Rabu.

Menurutnya, laporan itu dibuat susulan penularan beberapa hantaran di media sosial yang memaparkan gambar Hajiji dengan perkataan “Orang Hilang” dan “tidak hadir menjawab soalan di Dewan Undangan Negeri (DUN)”, sedangkan hakikatnya beliau hadir dan melaksanakan tanggungjawab rasmi seperti biasa.

Beliau berkata, kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik menerusi platform Facebook “Warisan Negeri Sabah” oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus boleh mengelirukan rakyat serta menjejaskan imej dan reputasi kepimpinan negeri Sabah.

“Saya percaya hantaran tersebut adalah satu fitnah yang disengajakan dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat serta mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah,” katanya kepada media selepas membuat laporan tersebut.

Dalam laporan polis itu, Zulkarnain turut memohon agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap individu terlibat.

Beliau menggesa agar siasatan dilakukan di bawah Akta Fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, beliau turut menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap penyebaran kandungan palsu yang disifatkan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Menurutnya, tindakan penyebaran maklumat tidak benar bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah berpotensi mengganggu keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.

“Laporan ini dibuat demi kepentingan awam dan bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan fitnah,” ujarnya.