Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi Diperluas di Sabah, Sarawak, Labuan – Armizan Maklum...

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi Diperluas di Sabah, Sarawak, Labuan – Armizan Maklum Boleh Daftar Online dan Fizikal

0
SHARE

SANDAKAN: Kerajaan memperluaskan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan pendaftaran kini boleh dibuat secara dalam talian melalui portal MySubsidi serta secara fizikal di semua premis Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) termasuk kaunter bergerak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bertujuan memudahkan syarikat pengangkutan darat barangan, khususnya di kawasan luar bandar, untuk menyertai sistem penyaluran subsidi diesel secara lebih tersusun dan telus.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua syarikat pengangkutan darat barangan dan syarikat pengangkutan darat awam yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan untuk mengambil peluang ini dan membuat permohonan melalui portal MySubsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat mengenai status pelaksanaan OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini.

Menurutnya, permohonan SKDS telah dibuka bermula 4 Mei 2026, dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk penyediaan kaunter bergerak melalui program turun padang seperti Program Jualan RAHMAH MADANI dan Hari Bertemu Pelanggan bagi memudahkan proses pendaftaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) yang berkuat kuasa sejak 16 Mac lalu menunjukkan keberkesanan dalam membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan kawalan.

Katanya, sepanjang tempoh sehingga 4 Mei 2026, sebanyak 38,071 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negara yang membawa kepada 506 kes dan 147 tangkapan.

“Daripada jumlah kes tersebut, penyelewengan bahan api diesel mencatatkan kes tertinggi diikuti petrol, sekali gus menunjukkan fokus penguatkuasaan berada pada komoditi utama negara,” katanya.

Bagi Sabah, beliau berkata sebanyak 6,108 pemeriksaan dijalankan dengan 132 kes direkodkan, di mana kes melibatkan diesel dan petrol merupakan penyumbang utama.

Tambahnya, pelaksanaan operasi bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi termasuk KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi keselamatan lain merangkumi sektor daratan, perairan dan sempadan.

Armizan berkata, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dibendung secara berkesan, sekali gus melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.