TAWAU: Tindakan tidak bermoral seorang remaja lelaki yang dipercayai menghantar mesej serta gambar lucah kepada seorang pelajar perempuan melalui aplikasi TikTok membawa padah apabila dia ditahan polis dalam satu operasi di daerah ini, pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam pada 29 April lalu ketika mangsa berusia 13 tahun berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Apas sebelum menerima mesej daripada suspek menerusi akaun TikTok.
Menurut beliau, suspek bukan sahaja menghantar mesej berunsur lucah, malah turut mengirim gambar kemaluan kepada mangsa sehingga menyebabkan mangsa berasa takut terhadap keselamatan dirinya.
“Bertindak atas laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek berusia 15 tahun kira-kira jam 1.10 tengah hari di kawasan tepi Jalan Melati Off Jalan Kuhara, Tawau,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah seksual termasuk yang dilakukan melalui platform media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.






