KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke laut dalam kejadian perlanggaran bot di perairan Pulau Mengalum, Ahad lalu.
Mangsa dikenali sebagai Nur Amin, 21, dilaporkan hilang selepas insiden yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi pada 4 Mei lalu.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 9.30 pagi semalam bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Menurut beliau, sepasukan dua anggota dari BBP Kota Kinabalu diketuai PBK II Kasran Denah digerakkan ke lokasi operasi dan tiba di Jeti DBKK belakang Suria Sabah kira-kira jam 9.36 pagi.
“Operasi SAR sedang dijalankan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama dua bot milik Syarikat Ria dengan radius pencarian sekitar 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, pengadu menerima panggilan daripada rakan sekerja mangsa yang memaklumkan berlaku perlanggaran bot di lokasi kejadian sebelum mangsa terjatuh ke laut dan hilang.
Katanya, usaha pencarian awal turut dilakukan oleh rakan-rakan mangsa namun gagal menemui lelaki terbabit.
“Pihak PDRM telah mengaktifkan Ops SAR di Jeti DBKK dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut berada di lokasi bagi membantu operasi yang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, setakat operasi ditamatkan pada jam 11.12 pagi, mangsa masih belum ditemukan dan pihak bomba akan bersedia membantu sekiranya diperlukan oleh pasukan penyelamat utama.






