KOTA KINABALU: Sabah bakal melakar sejarah baharu dalam arena sukan tempur apabila kejohanan TWINS Championship 104 menampilkan pertarungan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf oleh Majlis Tinju Dunia (WBC) buat pertama kali di negeri ini.
Suasana di European Wellness Premier Centre (EWPC), Alamesra hari ini bertukar gamat apabila peninju Sabah, Khairul “King Azim” Hamdain, dan pencabar dari Indonesia, Suryadi Tambunan, bertemu dalam sesi timbang tara rasmi serta sidang media menjelang perebutan gelaran WBC Far East Featherweight yang dijadual berlangsung esok di Dewan Kebudayaan Penampang.

Kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi titik penting dalam sejarah sukan tempur Sabah, malah turut memperlihatkan kerjasama strategik antara TWINS Championship dan European Wellness Biomedical Group dalam memperkenalkan pendekatan baharu melibatkan sains regeneratif, perubatan sukan dan penjagaan kesihatan atlet jangka panjang.
Pengerusi European Wellness Biomedical Group, Prof. Dato’ Sri Dr. Mike K.S. Chan, berkata kerjasama tersebut memberi fokus bukan sahaja kepada prestasi atlet di gelanggang, tetapi juga kepada pemulihan fizikal dan perlindungan neurologi selepas karier sukan mereka.
Menurut beliau, kecederaan fizikal merupakan risiko utama bagi atlet profesional dan penggunaan teknologi bioperubatan moden mampu membantu atlet pulih lebih pantas serta menikmati kehidupan yang lebih sihat selepas bersara daripada arena sukan.
“Kerjasama ini adalah tentang melindungi tubuh manusia. Melalui perubatan bioregeneratif, pembaikan mitokondria dan sokongan neurologi, kami mahu atlet bukan sahaja pulih dengan cepat tetapi juga mempunyai kualiti hidup yang lebih baik selepas tamat karier,” katanya.
Kejohanan itu turut dilihat sebagai permulaan era baharu “safe combat” atau sukan tempur selamat, apabila teknologi perubatan moden dan sains sukan semakin digabungkan dalam penjagaan atlet profesional.
Acara penuh TWINS Championship 104 akan bermula seawal jam 9 pagi hingga 3 petang menerusi pertarungan tinju amatur melibatkan lebih 30 perlawanan yang mengetengahkan bakat-bakat muda Sabah.
Perlawanan profesional kategori undercard pula dijadual berlangsung dari jam 5 petang hingga 7.45 malam, sebelum acara utama bermula pada jam 8.30 malam.
Pertarungan utama antara “King Azim” dan Suryadi Tambunan dijangka menjadi tumpuan peminat tinju seluruh Sabah dan rantau ini, selain akan disiarkan secara langsung menerusi TVS saluran Astro 122 serta beberapa platform penstriman digital serantau.
Penganjur berkata penganjuran pertarungan bertaraf WBC di Sabah menjadi langkah besar dalam meningkatkan profil sukan negeri serta memperkukuhkan reputasi Sabah sebagai lokasi penganjuran acara sukan antarabangsa.






