BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan secara parol pada Isnin selepas menjalani hukuman penjara selama kira-kira lapan bulan susulan sabitan kes salah guna kuasa dan konflik kepentingan ketika memimpin negara itu.
Memetik Reuters, tokoh politik berusia 76 tahun itu dilihat keluar dari Penjara Pusat Klong Prem di Bangkok sekitar jam 7.40 pagi waktu tempatan sebelum disambut ahli keluarga termasuk anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, serta ratusan penyokong yang berkumpul sejak awal pagi.
Penyokong Thaksin turut melaungkan slogan “We Love Thaksin” ketika beliau meninggalkan penjara selepas dibebaskan bersyarat kerana telah menjalani kira-kira dua pertiga daripada hukumannya.
Thaksin sebelum ini kembali ke Thailand pada 2023 selepas 15 tahun hidup dalam buangan bagi menghadapi hukuman penjara lapan tahun berkaitan kesalahan ketika menjadi Perdana Menteri dari 2001 hingga 2006.
Bagaimanapun, hukuman itu kemudian dikurangkan kepada setahun oleh Raja Thailand.
Selepas pulang ke negara itu, beliau hanya sempat berada di penjara selama beberapa jam sebelum dipindahkan ke hospital akibat masalah kesihatan termasuk sakit dada dan komplikasi jantung.
Beliau kemudian ditempatkan selama enam bulan di wad khas hospital sebelum dibebaskan secara parol.
Pada September tahun lalu, Mahkamah Agung Thailand memutuskan tempoh rawatan hospital itu tetap dikira sebagai sebahagian daripada hukuman penjara selepas mendapati rawatan dan prosedur tertentu sengaja dilanjutkan tanpa keperluan kritikal.
Menurut Jabatan Penjara Thailand, Thaksin kini diwajibkan memakai alat pemantauan elektronik di pergelangan kaki bagi baki tempoh hukumannya.






