KOTA KINABALU: Keselamatan dan kestabilan negeri akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri kerana ia amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat, meningkatkan keyakinan pelabur serta menjamin kelangsungan pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan demi memastikan keamanan serta kedaulatan negeri sentiasa terpelihara.
“Keselamatan dan kestabilan negeri akan terus menjadi keutamaan kerana ia amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur serta kelangsungan pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai Ketua Setiausahanya, Datuk Awang Alik Jeman.
Menurut Hajiji, pertemuan itu menjadi ruang penting untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan keselamatan, pengurusan sempadan, kawalan imigresen serta kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Makhzan Mahyuddin dan Ainah Mohd Soon, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), CP Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengarah Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof.






